Make your own free website on Tripod.com
Home Site Map About PSSM Contact Us Links
     
 

PERNYATAAN BELASUNGKAWA PSSM ATAS PEMERGIAN
DATIN SERI ENDON BINTI DATUK MAHMOOD (1940-2005)

20 Oktober 2005

 
     
 

Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dengan rasa amat sedih ingin menyatakan belasungkawa atas pemergian Allahyarhamah Datin Seri Endon, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada pagi 20 Oktober 2005 bersamaan 15 Ramadhan 1426H. Pemergian beliau turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

PSSM amat menghargai jasa-jasa Allahyarhamah dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang sosial dan amal. PSSM secara khusus merakamkan penghargaan atas usaha beliau yang begitu peka terhadap kehidupan rakyat dari segi keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial, budaya dan pemuliharaan warisan. Dalam hubungan ini, beliau telah mempelopori penubuhan Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Projek Felda Semai BAKTI, Pergerakan Malaysia Batik – Ciptaan Untuk Dunia dan Muzium Tekstil Malaysia. Usaha-usaha beliau ini telah mencetuskan satu kesedaran baru rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya memulihara dan mengembangkan suatu warisan budaya yang kita kongsi bersama sebagai bangsa Malaysia.

Allahyarhamah adalah lambang kegigihan melawan penyakit kanser. Beliau menginspirasikan para pesakit khususnya pesakit kanser agar sentiasa optimis dan meneruskan kehidupan sebaik mungkin. Sikap dan semangat sedemikian amat penting bagi setiap insan. Selaku Penasihat kepada Persatuan Kanser Nasional Malaysia dan Penaung kepada Pink Ribbon’s Deed (PRIDE), beliau berusaha keras meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser, serta memperjuangkan peningkatan kualiti diagnos, rawatan dan penjagaan pesakit kanser payu dara di negara ini. Aktivis persatuan dan pesakit kanser wanita umumnya menimba inspirasi daripada kecekalan beliau.

Walau apapun, kehendak Ilahi mengatasi segalanya. Kami dari PSSM mengucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada YAB Perdana Menteri atas kembalinya isteri, rakan dan penyokong setia beliau ke rahmatullah. Ketabahan YAB Perdana Menteri dalam menghadapi kehilangan ini menjadi teladan kepada seluruh rakyat dalam menghadapi sebarang musibah. Semangat dan jiwa yang tabah adalah tunjang dan penawar bagi menghadapi kerapuhan hidup insan. Al Fatihah.

 

Profesor Madya Saliha Hassan
Setiausaha, Persatuan Sains Sosial Malaysia

 

Profesor Dato’ Dr Abdul Rahman Embong
Presiden, Persatuan Sains Sosial Malaysia