Make your own free website on Tripod.com
Home Site Map About PSSM Contact Us Links
     
 

Pernyataan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia Mengenai Perang Pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq

 
     
  20 Mac 2003  
     
 

1.  Pada saat menjelang fajar hari ini di Baghdad (kira-kira jam 10.25 pagi waktu Malaysia), Pentadbiran Bush melancarkan serangan udara dan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Iraq. Serangan ini disusuli pula oleh gelombang demi gelombang pengeboman ke atas Baghdad serta serangan udara dan darat ke dalam wilayah Iraq Selatan oleh tentera Amerika dan British. Serangan bertubi-tubi ini menandakan bermulanya tahap awal suatu peperangan yang dijanjikan oleh Menteri Pertahanan AS sebagai “mempunyai kedahsyatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini”. Dengan tindakan pencerobohan tersebut, dua buah negara terkuat di dunia, iaitu Amerika Syarikat dan Britain, memuntahkan lautan api ke atas sebuah negara kecil yang penduduknya tidak sampai sepersepuluh daripada penduduk Amerika Syarikat, dan yang rakyatnya sudahpun menderita kesengsaraan selama 12 tahun akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Bangsa-bangsa Bersatu kerana pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada 1991.

 

2. Beberapa prinsip sedang tercabar akibat peperangan ini. Pertama, peperangan ini akan mengakibatkan pembunuhan dan kesengsaraan yang tidak perlu ke atas rakyat yang tidak berdosa yang dengan mudah diketepikan oleh para algojo perang AS sebagai “kerosakan kolateral”. AS yang sebelum ini mendapat simpati seluruh dunia ekoran daripada serangan teroris 11 September, telah melakukan sesuatu yang merugikan dirinya sendiri, dan telah kehilangan kewibawaan moral yang perlu untuk memimpin dunia, apabila ia melancarkan perang pencerobohan tersebut. Sesungguhnya, kehebatan kesan peperangan ini dari segi harta benda, nyawa dan psikologi akan menjadikan pembunuhan di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon itu kelihatan sebagai mainan kanak-kanak sahaja. Sementara di satu pihak Peristiwa 11 September melambangkan kemuncak terorisme yang dilakukan oleh aktor bukan negara, di pihak lain, kecederaan, pembunuhan dan penyingkiran akibat perang yang dialami oleh rakyat Iraq dalam peperangan yang menggunakan peluru berpandu yang paling canggih serta “ibu segala bom” (MOAB), yang dihujani oleh AS dan Britain ini menandakan kemuncak kezaliman dan terorisme negara yang dilakukan oleh mereka demi menguasai sumber minyak dan kepentingan strategik lainnya. Namun, ungkapan yang muluk-muluk seperti “mempertahankan keamanan dunia, kebebasan dan demokrasi”, serta “mempertahankan” apa yang dipanggil oleh Bush dan Blair sebagai “cara hidup kita” daripada ancaman “negara pengganas” dan “terorisme yang ektrim” digunakan untuk mengabui mata dunia dan menghalalkan peperangan ini.

 

3. Kedua, peperangan ini dilancarkan tanpa mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, serta merupakan pencabulan terang-terangan ke atas undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB yang menetapkan penyelesaian sebarang konflik antarabangsa melalui cara damai. Peperangan ini dilancarkan sekalipun pasukan pemeriksa senjata PBB sedang memperoleh hasil yang positif dalam misi yang diamanatkan kepadanya untuk melucutkan senjata Iraq melalui proses pemeriksaan. Pencerobohan AS dan Britain ini memperlekehkan PBB dan mencabuli prinsip-prinsip hakiki yang dijunjung oleh AS, Britain dan negara anggota PBB lainnya. Diplomasi dan cara damai telah gagal bukannya disebabkan rejim Iraq enggan bekerjasama. Sebaliknya, kegagalan ini disebabkan oleh kerakusan AS yang merupakan satu-satunya adikuasa di dalam dunia unipolar ini yang memilih penyelesaian masalah dengan kekerasan, bukannya dengan cara diplomasi, politik dan moral. Peperangan ini menandakan bermulanya satu jenis ‘keadaan tanpa undang-undang' yang baru dalam hubungan antarabangsa di mana AS dan Britain menjadi si biang keladi utama dalam tindakan yang tidak menghormati undang-undang tersebut.

 

4. Ketiga, peperangan ini juga adalah bertentangan dengan hasrat bersama jumlah terbanyak negara anggota PBB dan juga rakyat seluruh dunia termasuk rakyat AS dan Britain yang menginginkan penyelesaian secara damai masalah Iraq di samping mewujudkan perdamaian yang berkekalan setelah berakhirnya Perang Dingin. Sekiranya tindakan sepihak atau unilaterialisme AS dalam menangani isu ini merupakan batu asas kepada Pax American yang baru, maka seluruh dunia terutamanya negara-negara kecil dan sederhana harus dengan mendalam melakukan pemikiran semula dan mengatur strategi baru untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan hidup negara masing-masing dalam Tata Baru Dunia. Walau apapun pendirian kita berhubung dengan rejim Saddam, ia sama sekali tidak membolehkan bahkan adalah sekali-kali tidak wajar bagi sebarang kuasa luar untuk menceroboh negara itu untuk menggulingkan pemerintahnya, kerana itu adalah urusan dalaman rakyat Iraq sendiri.

 

5.  Keempat, hujah Bush-Blair bahawa peperangan ini dilancarkan kerana rejim Iraq tidak mematuhi resolusi PBB yang menuntut Iraq menghancurkan senjata pemusnah besar-besarannya adalah bersifat dwistandard. Soalan yang harus diajukan ialah: Negara manakah di dunia ini yang memiliki sejumlah besar senjata pemusnah besar-besaran dan negara manakah pula yang bersikepala batu enggan mematuhi resolusi PBB? Selain daripada Amerika Syarikat yang memiliki jumlah terbanyak senjata pembunuh besar-besaran itu, sekutu AS yang paling rapat di Timur Tengah, iaitu Israel , merupakan negara yang mempunyai kelengkapan rapi senjata pembunuh besar-besaran tersebut. Negara Israel jugalah yang dengan sewenang-wenangnya enggan mematuhi serangkaian resolusi PBB mengenai isu Palestin termasuk isu pendudukan haramnya ke atas wilayah Palestin. Kenapa tentera AS dan Britain tidak bertindak ke atas kedegilan rejim Israel itu? Nyata sekali tindakan pencerobohan ke atas Iraq yang dikepalai AS itu, sementara pada masa yang sama ia melindungi Israel, mendedahkan sifat munafik yang jelik yang diamalkan AS, yang merupakan satu-satunya adikuasa di dunia, dalam melaksanakan agendanya untuk mendominasi Iraq, menubuhkan rejim yang pro-AS di sana, menguasai telaga minyak Iraq yang kaya raya, serta menguasai kedudukan strategik di rantau itu.

 

6.  Perang pencerobohan ini menandakan bermulanya satu era baru dalam rancangan hegemoni global AS untuk merealisasikan “Project for the New American Century” (Projek Abad Amerika Yang Baru) setelah ia muncul sebagai satu-satunya adikuasa di dunia. Peperangan ini akan menimbulkan kesan yang begitu hebat bukan sahaja ke atas Iraq , tetapi juga ke atas kedamaian dan kestabilan dunia. Ia akan mencetuskan huruhara dan ketidakstabilan yang berterusan di Timur Tengah, dan menyemarakkan lagi perasaan anti-Amerika di seluruh dunia, terutamanya di dunia Islam. Perang pencerobohan yang diterajui AS ini memberikan pukulan teruk ke atas kempen anti-terorisme global kerana ia akan mencetuskan satu gelombang baru terorisme serta kebencian mendalam di kalangan mereka yang melihat diri mereka sebagai mangsa pencerobohan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh AS dan para sekutunya.

 

7.  Bersama-sama dengan semua rakyat yang cintakan damai di Malaysia dan di seluruh dunia, kami mengecam sekeras-kerasnya perang yang tidak adil ini dan menggesa Pentadbiran Bush dan para sekutunya supaya menghentikan dengan serta-merta segala tindakan ketenteraan. Pencerobohan yang diterajui AS ini sekali lagi mengenakan ujian ke atas PBB sebagai institusi antarabangsa untuk memelihara perdamaian dunia serta undang-undang dan tata aturan antarabangsa. PBB akan gagal dalam menunaikan tanggungjawabnya sekiranya ia membiarkan tindak tanduk pelanggaran oleh AS dan sekutunya itu tanpa dihalang dan sekiranya ia tidak secara berkesan menghentikan peperangan yang gila ini.

 

8.  PBB seharusnya segera memanggil sidang tergempar Perhimpunan Agung badan itu untuk mendebatkan isu ini, mengambil tindakan untuk segera menghentikan peperangan, meneruskan pemeriksaan senjata, mempercepatkan bantuan kemanusiaan dan mengambil bahagian dalam pembangunan semula Iraq yang menjadi mangsa pencerobohan. PBB juga seharusnya dengan segera mengambil inisiatif menggerakkan negara anggotanya untuk merangka struktur Tata Baru Antarabangsa bagi abad ke-21, dengan memberikan makna sebenar kepada prinsip hidup berdampingan secara damai, menghormati kedaulatan, saling tidak campur tangan dalam urusan negara lain, sama darjat, serta saling menguntungkan bagi semua negara, tidak kira besar ataupun kecil, di muka bumi ini.

 

Profesor Dato' Dr Abdul Rahman Embong

Presiden

Persatuan Sains Sosial Malaysia